Sebahagian Dosa-dosa Besar Hati

Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir'an Iqtiraf al-Kaba'ir mengkategorikan dosa-dosa besar kepada dua jenis:

  1. Dosa besar hati
  2. Dosa besar anggota badan
Menurut sebahagian ulama, dosa besar hati lebih besar daripada dosa-dosa besar yang dilakukan anggota badan. Ini disebabkan besarnya keburukan dosa-dosa tersebut, serta kesannya yang besar dan bentuknya yang berpanjangan. Beliau menyenaraikan lebih daripada 60 jenis dosa-dosa besar dalam kategori berikut:


1) Syirik kepada Allah (paling besar)
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua)."Surah al-Nisa:48.

2) Riak
"Celakalah orang-orang yang riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaanya)."Surah al-Ma'un:6.

3) Hasad, dengki dan marah secara batil
"Marah secara batil itu daripada syaitan." "Jauhilah asad dengki, sesungguhnya ia 'memakan' pahala kebaikan seperti api memakan kayu kering." (Riwayat Abu Daud)

4) Sombong, angkuh dan ujub
Kata al-Jurjani: "ujub adalah merasa diri hebat sedangkan ia tidak layak dengan kehebatan tersebut"
Kata al-Ghazali pula: "ujub adalah membesar-besarkan nikmat sedangkan pemberi nikmat dilupakan"

5) Nifaq
"Ciri-ciri nifaq itu tiga iaitu bila berbicara dia berbohong, bila berjanji dia mungkiri dan bila diberi amanah dia khianat" (Riwayat al-Bukhari)

6) Tidak reda dengan qada' Allah
"Apabila ia diuji dengan Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!" Surah al-Fajr:17

7) Menolak kebenaran
"Tidak masuk ke syurga orang yang punya sikap takbur sebesar zarah di dalam hatinya" Sahabat bertanya, "Bagaimana dengan orang yang memakai pakaian dan kasut yang indah-indah wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah, "Allah indah dan sukakan keindahan. Sedangkan takbur bermaksud menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang." (Riwayat Muslim)

Sumber: Majalah al-Ustaz
Penulis artikel: Ustaz Mohammad Muizzuddin Zaini

Comments