Surah al- Buruj : Kisah penggali parit



Pada suatu zaman dahulu, ada seorang raja yang menganggap dirinya sebagai Tuhan dan dia memiliki seorang tukang sihir. Namun begitu, usia tukang sihir tersebut semakin tua, jadi dia ingin mencari seorang pengganti atau pelapis agar ilmu hitamnya boleh diwarisi dan diguna pakai untuk rakyat jelata.

Tukang sihir: Sesungguhnya aku telah tua. Utuslah kepadaku seorang anak yang akan aku ajari sihir.

Raja tersebut pun mengutuskan seorang anak muda kepada ahli sihir tersebut. Anak muda tersebut  digelar Ghulam dan dia seorang yang bijak dan insan yang terpilih untuk mewarisi ilmu hitam. Setiap kali Ghulam datang ke kelas ahli sihir itu, dia akan melintasi seorang rahib di tengah perjalanan. Jadi dia singgah sebentar dan duduk untuk mendengar ucapan rahib tersebut. Dia berasa kagum dan semakin tertarik dengan rahib itu.

Bagaimana helah dalam kehidupan harian terwujud:
Disebabkan itu, dia selalu terlewat ke kelas ahli sihir sehinggakan dia dipukul sebagai denda. Dia menceritakan hal ini kepada rahib yang dia kagumi itu, dan di sinilah dia belajar untuk memberi helah dalam kehidupan seharian. Helah yang dibenarkan dalam agama untuk mengekalkan akidah dan mengelak daripada manusia zalim daripada dibunuh.

Rahib: Kalau engkau takut kepada tukang sihir, katakanlah bahwa keluargamu telah menghalangimu pergi sehingga engkau terlambat, dan bila engkau takut kepada keluargamu, katakan juga bahwa tukang sihir itu telah melambatkan urusanmu.

Kebenaran yang sebenar:
Pada suatu hari, dengan izin Allah, ada seekor raksasa atau haiwan yang besar yang menghalangi laluan Ghulam untuk ke kelas ahli sihir. Penduduk kampung yang lain berasa takut. Jadi Ghulam ingin menolong penduduk kampung.

Ghulam: Ya Allah, hari ini akan aku tahu siapa sebenarnya yang lebih disukai oleh-Mu, adakah si tukang sihir ataupun si Rahib. Mana yang benar sebenarnya.”

“Ya Allah kalau benarlah apa yang diajarkan oleh si Rahib yang aku selalu jumpa di pertengahan jalan, maka Kau tunjukkanlah aku kebenarannya.”

Kemudian Ghulam membaling batu ke arah haiwan besar itu dengan nama Allah dan binatang itu rebah lalu mati. Allah menunjukkan kebesaran-Nya iaitu dengan sekadar membaling batu haiwan itu mati.

Kampung tersebut jadi kecoh dengan kejadian itu. Sejak itu, nama Ghulam semakin disebut oleh penduduk kampung, dia menjadi sangat terkenal dan mempunyai banyak pengaruh. Dia menceritakan kejadian tersebut kepada rahib.

Rahib: “Aku ingin memberitahu suatu perkara wahai anakku, hari ini kamu ternyata telah mencapai suatu tahap yang aku sendiri tidak pernah capai. Kamu diberikan suatu kelebihan dan kamu lebih baik daripadaku. Kamu kena ingat bila kamu berjaya melakukan perkara ini kepada masyarakat. Suatu masa nanti kamu akan diuji dengan ujian yang besar. Apabila kamu diuji, kamu akan ditangkap oleh raja. Seterusnya, raja ingin mengetahui bagaimana kamu boleh mengalahkan binatang besar atau raksasa tersebut. Kamu jangan ceritakan satu patah perkataan pun berkenaan aku.”

Kerana popularitinya di kampung itu, dia mula dipanggil untuk merawat orang yang sakit. Ternyata semua pesakit semakin sembuh dan Ghulam tetap merendah diri dengan mengatakan semua pertolongan itu datangnya daripada Allah.

Rahsia yang disimpan kian terbongkar:
Pada suatu hari, ada seorang pembesar yang kaya datang menemui Ghulam untuk menyembuhkan matanya yang buta. Dia membawa banyak hadiah untuk Ghulam sebagai tanda terima kasih. Ghulam memberitahu jika dia beriman hanya kepada Allah, doa yang dititipkan akan menjadi asbab matanya yang buta itu menjadi sembuh. Dengan senang hati, pembesar tersebut bersetuju dan dia memeluk Islam. Lama kelamaan, matanya elok seperti sedia kala.

Pada waktu itu raja membuat satu majlis, dan pembesar menghadiri majlis tersebut. Raja berasa terkejut kerana pembesarnya yang dahulunya buta kini sudah boleh melihat.

Raja: Bagaimana kamu boleh melihat?
Pembesar: Yang menyembuhkan aku adalah Tuhan.
Raja: Mana ada Tuhan selain diriku.
Pembesar: Ada, Tuhan itu adalah Tuhan aku dan Tuhan kamu.

Raja berasa amat murka lalu pembesar tersebut dikenekan hukuman yang amat berat. Kerana seksaan yang dahsyat, dia terberitahu kisah perjumpaanya dengan Ghulam.

Ghulam ditangkap dan semestinya diseksa dengan berat di istana. Ghulam pula terberitahu kisah pejumpaanya dengan rahib tersebut. Rahib pun ditangkap dan raja memaksa dan mengugut agar dia kembali kepada ajaran yang asal iaitu mengakui Tuhan seluruh alam adalah raja tersebut. Pastinya rahib enggan melakukan sedemikian. Raja semakin murka lalu mengarahkan pengawal istana untuk mengambil gergaji.

Raja: Jika engkau tidak mengakui diriku adalah Tuhanmu, gergaji akan kene tepat atas kepalamu.
Rahib: Allah Tuhanku!

Tanpa membuang masa, raja mengarahkan pengawal istana memotong badan rahib hingga terbelah dua dari atas kepala sehingga bawah. Peristiwa ngeri ini disaksikan oleh Ghulam dan pembesar istana yang sembuh penglihatannya. Amat syahdu dan mengerikan kematian si rahib tersebut.

Kini tiba giliran untuk membunuh pembesar tersebut jika masih tidak mahu mengakui raja itu adalah Tuhannya.

Pembesar: Allah Tuhanku!

Nasib yang sama menimpa pembesar itu. Badannya juga terbelah dua tanpa belas kasihan dan sifat perikemanusiaan. Kini tiba giliran Ghulam untuk disoal siasat.

Ghulam: Allah Tuhanku!

Semestinya raja bertambah murka. Namun begitu, dia tidak terus digergaji malah diberi masa untuk berfikir agar menukar jawapan. Namun, setelah sekian lama berfikir, jawapan Ghulam masih sama dan tidak berganjak meskipun dia sendiri tidak tahu apa yang akan menimpa dirinya.

Ujian bagi Ghulam:
Raja mengarahkan pengawal membawa Ghulam ke gunung yang amat tinggi dengan harapan Ghulam berasa takut lalu meninggalkan agamanya. Ghulam akan ditolak sekiranya masih tidak berubah fikiran. Setibanya di tempat tinggi, Ghulam berdoa agar dirinya diselamatkan daripada tentera tersebut.

Ghulam: Ya Allah, selamatkan aku!

Dengan izin Allah, gunung tersebut mula begoncang dan jatuhlah kesemua pengawal istana itu kecuali Ghulam. Ghulam lari ke istana untuk bertemu kembali dengan raja tersebut.

Raja: Menagapa engkau masih hidup? Apa yang dilakukan oleh pengawal istanaku?
Ghulam: Allah menyelamatkanku.

Raja tidak berpuas hati lalu mengarahkan pengawalnya membawa Ghulam ke tengah laut untuk dihumban jika masih tidak mahu mengakui raja sebagai Tuhan.

Pengawal: Masih dengan pendirianmu atau menagkui Raja itu Tuhanmu?
Ghulam: Ya Allah, selamatkan aku!

Tiba-tiba laut berombak sangat kuat dan serta merta kapal itu terbalik. Yang terselamat hanyalah Ghulam. Dia pun kembali ke istana untuk bertemu raja. Boleh saja dia mahu melarikan diri, tetapi demi menunjukkan agama yang dipercayainya itu benar, dia sanggup berdepan dengan raja yang zalim dan bongkak itu.

Kematian Ghulam:
Raja semakin pelik dan hairan bagaimana Ghulam masih boleh terselamat.

Ghulam: Hanya ada satu cara saja nak membunuhku iaitu dengan menyalibnya disebatang pokok dan mengumpulkan orang ramai untuk menjadi saksi. Sebelum memanahku, engkau harus berkata:

 Bismillahi Rabbil Ghulam yang bermaksud dengan nama Allah Tuhan kepada Ghulam


Setelah berkata ucapan itu, dengan tidak sabar raja terus memanah Ghulam dan dia mati sejurus dipanah. Panahan itu tepat kena dia antara dahi dan mata (pelipis) si Ghulam.


Kejadian itu membuka mata penduduk kampung dan makin ramai penduduk yang mula memeluk Islam. Keadaan ini sangat merisaukan raja. Setelah sekian lama, hampir keseluruh penduduk di situ memeluk ajaran Islam. Begitu besar dan hebat dakwah yang dilakukan Ghulam.



Parit besar digali bagi orang yang berpaling dari raja:

Disebabkan terlalu ramai orang yang memeluk Islam, keadaan itu agak susah dikawal. Oleh itu, bagi mempertahankan kedudukannya, raja memerintahkan pengawal istana untuk menggali parit besar dan lorong panjang lalu dinyalakan api yang marak bagi menghumban sesiapa saja yang tidak mengakui raja adalah Tuhannya.

Oleh itu, ramailah orang Islam yang mati syahid dalam kemarakan api tersebut. Keberanian dan keteguhan iman mereka dijadikan inspirasi sehingga ke hari ini.



Wujudnya kisah bayi yang boleh bercakap:

Dalam keadaan kucar kacir dan panas api yang membahang, ada seorang wanita Islam yang mendukung seorang bayi di pangkuannya. Dia berasa amat pilu dan sebak mengenangkan nasib dirinya dan anak yang akan hangus dijilat api. Dengan izin Allah secara tiba-tiba bayi tersebut berkata:

Wahai ibuku, bersabarlah! Sesungguhnya engkau dalam kebenaran!

Melihat keajaiban itu, si ibu berasa lega dan dia mati syahid di dalam baraan api tersebut.

Kisah ini merupakan kisah benar seperti yang dinyatakan dalam al-Quran surah al--Buruj ayat 4 hingga 8:

Binasalah orang-orang yang membuat parit (iaitu para pembesar Najran di Yaman), yang berapi yang mempunyai kayu bakar, ketika mereka duduk di sekitarnya, sedang mereka menyaksikan apa yang mereka perbuat terhadap orang-orang mukmin, dan mereka menyiksa orang-orang mukmin itu hanya kerana mereka beriman kepada Allah yang Maha Perkasa, Maha Terpuji.

Pengajaran bagi kisah di atas antaranya ialah:


  • Jangan sesekali mempersekutukan Allah meskipun kita diugut dengan pelbagai ancaman dan seksaan. Berpegang teguh dan yakin pada yang satu iaitu agama Islam.
  • Yakin dengan segala pertolongan Allah meskipun secara logiknya kita menemui jalan buntu. Semua yang berlaku datangnya daripada Allah dan dia yang mengatur segalanya.
  • Jangan sombong dan tamak dengan segala harta dunia kerana ianya bersifat sementara. Tetaplah berbalik pada Yang Maha Esa.
  • Jadilah pemimpin yang adil dan mendengar pendapat orang bawahan kerana ada kalanya apa yang mereka bicarakan adalah benar.
  • Menuntut ilmu dengan ikhlas dan sabar kerana tanpa ilmu kita tak ke mana. Segala yang berlaku memerlukan ilmu untuk difahami dan difikirkan.

Comments