Kanak-kanak dan pornography



Hari ni aku menghadiri satu program tentang Training of Trainers for Malaysia against Pornography di Pahang. Saja je lah datang sebab nak tahu lebih, kebanyakan yang datang ialah para ibu bapa, guru kaunseling dan orang yang lebih berusia. Golongan muda tak berapa ramai adalah dalam belasan orang. Yuran sebanyak rm10 saja dan dapat input yang sangat berguna.

Program kali ni secara jujurnya banyak membuka mata dan beri kesedaran sebab selama ni ingat pornography like biasalah tu. Semua pihak sepatutnya ada kesedaran tentang bahayanya pendedahan awal tentang pornography kepada kanak-kanak. Tak tahu nak tulis di blog macam mana sebab benda ni susah untuk disampaikan, kene jadi terbuka dan sifat ingin tahu yang tinggi.  Jadi nak kongsi serba sedikit tentang apa yang dapat sepanjang program tadi. Tak cerita semua pun, banyak sangat kalau nak diceritakan satu per satu.

Kebanyakan kes pornography dilakukan oleh orang yang terdekat kerana mereka mempunyai kuasa. Kebanyakan yang menjadi mangsa pun jarang report tentang sexual abuse. Persoalannya kenapa benda ni berlaku dengan sangat dahsyat dan pantas sedangkan kes ni dari dulu memang dah wujud? Kerana access daripada internet sangat mudah. Semua hujung jari sekarang.

Contohnya anak-anak leka bermain video game di handphone atau komputer. Iklan akan pop up dari semasa ke semasa. Pada mulanya memang iklan yang biasa-biasa je, tapi tunggu 1 jam kemudian. Iklan tentang pornography akan direct pop up di screen handphone tersebut. Betapa mudahnya nak jumpa, memang mulanya anak-anak akan endahkan. Tapi lama-kelamaan dan hari demi hari akan wujud satu sifat tertunggu-tunggu dan curiosity yang sangat tinggi. Ibu bapa kene pandai tapis atau block iklan di video game tersebut.

Contoh lain ialah apabila seorang guru tadika terjumpa pelajar lelaki dan perempuan sedang menyentuh kemaluan masing-masing di bawah meja. Persoalannya, dari mana mereka belajar benda tersebut? Bila ditanya jawapan mereka ialah, dalam handphone boleh kenapa kita tak boleh buat juga? Betapa naifnya kanak-kanak tersebut. Mereka sudah mengetahui sebelum umur matang mereka. Kematangan seseorang pula bergantung pada exposure dan pengalaman. Ada satu video tu, pihak media tanya itu tanya ini, jawapan pelajar sekolah tu ialah "saya tak tahu pun yang main benda ni boleh buat mengandung". Betapa naifnya mereka ni, sangat penting kesedaran dan knowledge dalam pendidikan anak-anak.

Bahayanya pornography yang akan menyebabkan:

  • Ketagihan
  • Mengubah pandangan lelaki terhadap wanita
  • Jenayah seksual
  • Curang
  • Melemahkan fungsi seksual
  • Hilang keyakinan diri. Menjadi depression dan agresif
  • Rantaian dosa


Kenapa kanak-kanak dan remaja menjadi saranan pornography?
Mereka golongan yang paling mudah untuk ketagih.

Perkembangan otak yang belum matang dan rasa ingin tahu yang tinggi, mereka lebih cenderung untuk melihat dan mengeksplorasi. Mereka terlalu bebas dengan gadget (iklan yang akan keluar) dan rutin harian yang membosankan tanpa aktiviti fizikal. Dulu waktu lapang orang main bola, sekarang kebanyakan gadget di tangan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerja sehingga membiarkan anak leka dengan internet. Kanak-kanak juga tidak memahami apa yang ditonton dan menimbulkan rasa ingin tahu yang tinggi.

Contoh aplikasi yang sedikit sebanyak menyumbang kepada pornography ialah facebook, instagram, WhatsApp, twitter, yellow, bigo life, snapchat, tiktok dan tumbler.

5 pembelajaran utama yang harus diterapkan kepada semua kanak-kanak:

  1. Kenali perasaan. Ajar anak-anak untuk mengenali perasaan.
  2. Sentuhan selamat dan tidak selamat. Ajar anak-anak anggota sulit dan jenis-jenis sentuhan.
  3. Jerit, lari dan beritahu. Ajar mereka tindakan dalam situasi bahaya. Kadang-kadang mereka takut lalu menjerit 'mama!! Papa!!'. Kita perlu ajar mereka untuk jerit 'tolong!!' supaya orang sekeliling lebih peka dan tahu mereka dalam bahaya.
  4. Orang dewasa yang saya percaya. Ajar mereka siapa orang dewasa yang boleh dipercayai.
  5. Rahsia yang bukan rahsia. Ada perkara yang perlu diceritakan supaya dapat penyelesaian bersama.
Bagaimana berbicara isu seksualiti dengan anak-anak? Panduan berikut adalah mengikut umur:

Umur 0 hingga 5 tahun:
Penggunaan kata nama yang betul untuk kemaluan. Kebiasaan anak-anak suka memegang kemaluan adalah normal. Ajarkan mereka untuk pegang pada keperluan tertentu contohnya apabila gatal, waktu dibersihkan dan dilakukan dalam bilik air, bukan di depan orang ramai. Hadkan dan tegur bila memegang kemaluan tanpa keperluan. Mengajar anak-anak tentang haknya kepada tubuh badan dan kepentingan bahagian sulit.

Umur 6 hingga 8 tahun:
Melalui penekanan peraturan (tidak boleh bercakap dengan orang asing, berkongsi gambar online).
Sediakan mereka dengan asas, apabila berhadapan dengan video-video yang tidak baik dan apa yang perlu dilakukan.

Tidak perlu jelaskan pornografi secara terus, cukup dengan memberitahu ia adalah perihal orang dewasa dan tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Anak-anak seharusnya dipantau sentiasa apabila penggunaan internet dibenarkan.

Umur 9 hingga 12 tahun:
Mengajar anak-anak tentang perubahan tubuh badannya dengan membandingkan dirinya sewaktu kecil dan sekarang. Berkongsi buku dengan bahan teknikal untuk memahami fasa perubahan seperti perubahan testosterone dan estrogen. Dan bagaimana ianya menyebabkan perubahan pada kemaluan, suara, bentuk badan dan lain-lain.

Tekankan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seiring dengan perubahan emosi dan daya tarikan semulajadi kepada jantina berbeza. Bagaimana untuk berkeadaan selamat sewaktu 'online'.

Umur 13 hingga 18 tahun:
Bersoal jawab dengan anak-anak tentang isu seksual. Bila mereka tanya tentang isu seksual, selaku ibu bapa kita harus bersyukur dan jawab dengan tenang kerana mereka menjadikan kita sebagai sumber rujukan. Jangan sekali kita endahkan kerana sekali kita buat tak tahu, mereka tidak lagi menjadikan kita sebagai rujukan utama. Rujukan mereka bertukar kepada kawan-kawan dan internet. Sumber yang salah akan membawa kesan yang tidak elok dalam pemikiran anak-anak. Bila mereka mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, kita boleh perlahan-lahan all out dengan mereka.

Berbicara secara terbuka tentang apa yang diketahui anak-anak tentang hubungan seksual.
Pandu anak-anak berdasarkan apa yang telah diketahui dan belum diketahui.
Jelaskan pada anak-anak tanggungjawab kepada hubungan seksual.
Jelaskan kesan-kesan kepada hubungan seksual dan mengapa ianya perlu dilakukan dalam keadaan bertanggungjawab dan selamat.

Cara melindungi diri saya:

Badan saya adalah hak milik saya dan bukan orang lain!
Saya berhak katakan Tidak! jika saya tidak mahu memeluk atau mencium seseorang. Saya boleh saja bertepuk tangan high-five, salam atau bye-bye kepada mereka. Saya adalah boss kepada badan saya dan saya berhak menentukannya. Saya mempunyai jaringan orang dewasa dan saya percayai.
Ini adalah lima golongan dewasa yang dipercayai dan boleh memberitahu apa-apa saja dan mereka akan percaya saya.

Jika saya merasa cemas, takut dan tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya boleh memberitahu kepada orang yang saya percayai. Saya boleh menceritakan perasaan saya dan kenapa saya rasa begitu. 

Golongan tersebut ialah:
Ibu, nenek, makngah, cikgu saya, pakngah

Tanda-tanda saya dalam bahaya ialah bila saya rasa takut atau tidak selamat, saya berpeluh, perut saya tidak selesa, kaki menggigil, berdebar dan jantung berdegup laju. Tanda-tanda inilah yang memberitahu saya bahawa saya berada dalam keadaan tidak selamat. Saya mesti beritahu orang dewasa yang saya percayai.

Rahsia
Saya tidak sepatutnya menyimpan rahsia jika saya rasa perbuatan itu tidak betul dan tidak selesa. Jika seseorang memaksa saya untuk merahsiakan perkara tersebut, tapi saya rasa ianya salah, jadi saya perlu memberitahu kepada orang dewasa yang saya percayai.

Bahagian sulit
Bahagian sulit saya ialah bahagian badan yang ditutupi pakaian renang. Saya perlu memanggil panggilan yang betul untuk bahagian sulit saya. Tiada siapa yang yang boleh sentuh atau menyuruh saya sentuh bahagian sulit mereka. Dan tiada siapa yang boleh mengambil gambar atau menunjukkan gambar bahagian sulit saya mahupun mereka. Jika perkara ini terjadi, saya mesti memberitahu kepada golongan dewasa yang saya percayai.

Rumusan bagi program tersebut ialah pihak yang paling dekat dengan anak-anak dalam mengawal dan educate anak mereka tentang masalah pornography ialah ibu bapa dan guru. Mereka orang yang paling hampir dan boleh dipercayai oleh kanak-kanak tersebut.

Comments

Post a Comment