Semua yang akan diceritakan di bawah ni, semuanya mencabar. Semua susah nak buat lagi-lagi zaman sekarang, semuanya menguji.
Jadi post kali ini ditulis balik apa yang telah diceritakan oleh rakan serumah petang tadi dan untuk peringatan dan teguran buat diri sendiri juga. Penerangan daripada surah al-furqan ayat 63-74.
Mereka yang mempunyai ciri-ciri seperti yang akan diceritakan, Allah memberi martabat yang tinggi dan tempat yang mulia di dalam syurga nanti seperti ayat di bawah:
"Mereka itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang tinggi di dalam surga karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya, mereka kekal di dalamnya. Surga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman” (Al Furqon: 75-76).
Apa sifat-sifat hamba yang akan mendapat martabat yang tinggi di syurga nanti?
1) Rendah diri dan lemah lembut (tawadduk) dan bersifat lemah lembut walaupun dilayan dengan kasar.
Kita berjalan dengan gaya biasa (tak terlalu cepat, tak terlalu lambat) dan tidak sombong. Rendah hati yang bermaksud tenang. Siapalah kita untuk merasa besar dan memperlekehkan orang lain. Bukan bermaksud kita jalan seperti orang sakit atau terlalu lambat. Orang yang tenang kebiasaanya seorang yang bijak pandai.
Walaupun mendapat hinaan, dia memilih untuk mempedulikan kata-kata orang yang menyakitkan hatinya. Dia mampu je nak balas, tapi lebih memilih berdiam diri atau hanya berkata yang baik.
2) Sentiasa tahajjud pada waktu malam
Waktu kebanyakan manusia tidur dan berehat pada waktu malam, kita gagahkan juga diri untuk bangun solat sunat. Tinggalkan kejap katil yang empuk. Hati kita dalam keadaan yang paling tenang sebab waktu ni kita jauh dari stress, jauh dari kesibukan dunia. Waktu ni tiada siapa pun nampak kita solat, kita bersendirian dan dapat fokus dengan mudah sebab tiada gangguan.
Doalah banyak-banyak sebab Allah suka dan rindu pada rintihan hamba-Nya. Yakin yang doa kita akan didengari dan dimakbulkan. Dia yang gerakkan hati kita untuk berdoa, untuk bercakap, untuk berharap, maksudnya Allah dah bersedia nak makbulkan. Tinggal kita je nak rasa yakin pada doa kita. Perkara wajib dan lebih utama ialah solat fardhu, tapi golongan hamba ni dia buat juga yang sunat contohnya solat sunat tahajjud.
3) Mempunyai sifat takut pada azab api neraka.
Kita takut nak buat dosa sebab kita terfikirkan azab di neraka nanti. Satu cara untuk kita betulkan balik diri, betulkan balik kehidupan. Sifat hamba yang disukai Allah ialah orang yang rajin bertaubat sebab manusia memang selalu melakukan kesilapan. Manusia memang diciptakan dengan adanya kelemahan.
4) Sederhana dalam berbelanja
Susahkan nak tahan nafsu membeli. Kena betulkan mindset iaitu beli ikut keperluan. Memang kita rasa mampu nak beli, tapi kadang tu tak perlu pun. Konsepnya mampu tapi tak perlu. Seeloknya kita memilih yang di tengah, tak kurang dan tak lebih.
5) Orang yang mudah menerima teguran/nasihat/peringatan
Susah nak terima sebab semua orang ada ego masing-masing. Walaupun diri sendiri jelas salah, tapi masih tak nak bertolak ansur dan mengalah. Merendahkan ego tanpa mengira status dan pangkat sebab kita sedar yang kita hanyalah seorang hamba, segala apa yang kita ada merupakan pinjaman dari Tuhan. Pinjaman tak kekal selamanya.
6) Orang yang jauh dari perkara-perkara mungkar, syirik, bunuh dan zina.
Analogi bagi zina ialah seperti telur lalat. Kita tak suka telur lalat, rasa macam kene buang. Tak nak dia ada kat situ. Kita tak nak sentuh pun makanan yang ada telur lalat. Macam tulah dengan zina, jangan dekati zina.
7) Rajin bertaubat
Bertaubat perlu ada 3 benda untuk kita rasa sebenar-benar taubat iaitu:
- rasa menyesal
- tak nak ulangi perbuatan itu lagi
- berhenti terus dari melakukan perbuatan itu.
8) Tidak bersumpah palsu atau memberi saksi palsu
Zaman sekarang ni hulur je duit, ada je yang sanggup terima. Hati mesti kuat dan teguh untuk tolak segala yang berunsurkan rasuah meskipun keadaan diri sedang susah.
9) Berdoa pada Allah untuk diri sendiri, pasangan dan keturunan yang baik dan menyejukkan hati.
Comments
Post a Comment