Sahabat yang dipersaudarakan: Salman al- Farisi dan Abu Darda'



Salman al-Farisi merupakan salah satu sahabat Rasulullah dan baginda mempersaudarakan Salman dengan Abu Darda' pada waktu itu. 

Pada suatu hari, Salman mengatakan hajatnya kepada Abu Darda' untuk bernikah dengan pilihan hatinya, iaitu seorang gadis dari Ansar yang baik dan solehah di matanya. Dia yakin dengan pilihan hatinya dan terus memberitahu Abu Darda' tentang berita gembira tersebut untuk meminta tolong bagi memudahkan lagi urusan, tambahan pula Abu Darda' seorang penduduk tetap di Madinah, sedangkan dia baru berhijrah dari Mekah ke Madinah (muhajirin).

Hal ini kerana dia merasa tidak selesa dengan keadaan di Madinah dan dia masih merasakan dia orang luar. Madinah bukan tempat dia membesar, bukan tempat kelahirannya, dia bukan orang yang dikenali di situ dan dia risau lamarannya akan ditolak jika orang luar yang secara tiba-tiba datang untuk melamar.

Sebaik saja Abu Darda' mendengar berita tersebut, alangkah gembiranya dia untuk membantu saudaranya. Tanpa membuang masa dan setelah semua kelengkapan disiapkan, mereke berdua terus bertolak ke rumah perempuan pilihan tersebut.

Abu Darda' mewakilkan Salman untuk menyampaikan hajat saudaranya kepada keluarga gadis itu. Dia menceritakan semua kelebihan dan keistimewaan Salman antaranya:

  • Salman telah dipersaudarakan dengannya oleh Rasulullah
  • Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah sehinggakan Salman digelar al-bait
  • Allah telah memuliakan Salman dengan hadirnya Islam dan dia seorang yang selalu mengikuti peperangan dan tinggi amal ibadahnya
Meskipun begitu, sesuatu di luar jangkaan telah berlaku. Gadis itu tidak bersetuju untuk dikahwinkan dengan Salman, lalu dia menolak pinangan tersebut. Akan tetapi gadis itu lebih berkenan dan tertarik dengan Abu Darda', dan dia bersetuju untuk berkahwin dengan Abu Darda'. Abu Darda' berasa amat terkejut dengan keputusan itu dan dia berasa amat risau dengan reaksi Salman nanti.

Setelah selesai, Abu Darda' memberitahu Salman akan apa yang terjadi sebentar tadi walaupun pada mulanya dia berasa amat takut dan malu untuk memberitahu Salman bahawa gadis pilihan hatinya telah memilih dirinya sendiri, sedangkan dia datang hanya untuk menyampaikan hajat saudaranya.

Setelah Salman mengetahui cerita sebenar, reaksinya amat tenang dan dia langsung tidak marah. Malah dia yang merasa malu kerana sebenarnya Allah ingin menyatukan mereka berdua, dan bukanlah dirinya. Dia juga turut gembira bahawa saudaranya bernikah dengan gadis itu, lalu semua barang persiapan perkahwinan diserahkan kepada Abu Darda'.

Pengajaran yang dapat kita pelajari:
  • Abu Darda' yang cepat dan sanggup membantu saudaranya untuk memudahkan urusan
  • Salman al-Farisi yang berlapang dada dengan segala ketentuan hidup, malah berkongsi kegembiraan untuk saudaranya meskipun dia tidak dapat apa yang dihajati
  • Persahabatan sejati yang berlaku antara mereka berdua sangat istimewa dan perlu dicontohi
Boleh tekan [sini] untuk mengetahui cerita selepas mereka berdua berkahwin. Ternyata gadis tersebut tidak bahagia kerana sikap Abu Darda', dan Salman yang membantu mereka berdua.

Comments