Cerita di bawah merupakan sambungan cerita sebelum ni di [SINI]
Peristiwa Israk:
Jibril menyuruh Rasulullah untuk turun dan tunaikan solat 2 rakaat di sini. Rasulullah nampak banyak pokok kurma. Rasulullah tanya:
"Di mana ni?"
Lalu Jibril menjawab:
"Ini bermulanya tempat hijrah kamu."
Kemudian mereka sambung berjalan sehingga sampai suatu tempat namanya Madyan, ada pokok juga di tempat ni. Lagi sekali Jibril menyuruh:
"Turun di sini dan solat 2 rakaat."
Kemudian atas satu gunung pula, lagi sekali disuruh turun dan solat.
"Gunung apa ni?"
Ini Gunung Sinai. Di kawasan ini lah Allah berbicara dengan Nabi Musa. Jadinya tempat ini berkat. Dimana-mana Nabi pernah masuk, pernah hidup, pernah tinggal, tempat itu semua berkat. Kawasan negeri tu semua berkat. Sebab tu Jibril menyuruh Rasulullah solat di bawah pokok yang Nabi Musa pernah duduk berehat.
"Yang pernah duduk di sini ialah manusia yang luar biasa. Jadi mesti keberkatannya kekal sehingga hari kiamat."
Kemudian mereka sambung perjalanan sehingga Rasulullah boleh nampak banyak istana. Mereka berada berhampiran negeri Syams (belum lagi sampai Palestin). Sebelum sampai di Syams, Jibril suruh turun lagi solat di sini.
"Kenapa?"
"Kerana di sini tempat kelahiran Nabi Isa. Maryam melahirkan Isa di sini."
Tempat ini pun dikira berkat, apatah lagi tempat kelahiran Nabi Muhammad. Berganda berkat dan mulia.
Dikejar seekor jin yang jahat:
Mereka sambung lagi perjalanan ke Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa). Tiba-tiba..ada satu makhluk yang besar sedang memegang api di kedua-dua tangannya. Makhluk tersebut ingin membakar Nabi Muhammad. Ketika ini mereka masih di atas Buraq, tapi makhluk tersebut seakan-akan mengejar mereka dan cuba menghalakan api ke muka Nabi Muhammad. Baginda tertanya-tanya siapakah makhluk ini? Jibril pun berkata:
"Ya Rasulullah, ini ialah suatu jin (syaitan)."
Syaitan tak suka orang yang macam Rasulullah iaitu yang selalu beramal soleh dan taat perintah Allah.
"Aku boleh ajarkan kepadamu satu doa yang jika kamu membacanya, api itu akan terpadam dan syaitan itu akan mati terus."
"Ajarkanku"
Doa yang diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad:
Ruqyah |
Sebaik saja Jibril selesai mengajar dan Rasulullah membaca doa tersebut, api terus terpadam dan jatuh ke atas muka syaitan tersebut. Syaitan itu pun turut jatuh dan hilang.
Bermaksud segala yang dilihat oleh Rasulullah sepanjang perjalanan ialah semua perkara betul dan nyata. Terjadi depan mata baginda sendiri, bukan seakan-akan skrin semata-mata.
Kemudian perjalanan disambung. Tiba-tiba..Rasulullah bau wangi sangat.
"Bau apa ni?"
"Ini bau Masyitah iaitu tukang sikat kepada puteri Firaun"
"Apa ceritanya?"
Kisah Masyitah sehingga kuburnya berbau wangi:
Suatu hari waktu Masyitah sedang sikat rambut anak Firaun, tiba-tiba sikatnya terjatuh. Kemudian dia ambil sambil menyebut 'Bismillah, celakalah Firaun'
Anak kecil itu terkejut lalu memandang Masyitah:
"Adakah kamu mempunyai Tuhan selain daripada ayahku?!!"
Hal ini kerana Firaun terkenal dengan sikapnya yang angkuh dan memaksa semua orang mengaku dirinya sebagai Tuhan seluruh alam.
Lalu Masyitah menjawab:
"Mana ada ayahmu itu Tuhanmu! Tuhan aku dan Tuhan kamu serta ayah kamu ialah Allah."
"Akan kuberitahu kepada ayahku!!!"
Lalu Firaun terus memanggil Masyitah. Dibawa sekali suami dan anak-anaknya menghadap Firaun.
"Sekarang juga kamu sujud kepadaku dan mengaku diriku ini Tuhanmu!!"
"Tak nak!! Terpulanglah hukuman apa yang akan jadi pada diriku..aku tetap tak nak!"
Masyitah telah lama simpan agam Islam dalam hatinya. Cuma hari ini baru diketahui ramai.
"Aku akan bunuh kamu semua..satu keluarga!!"
Pada ketika itu, Masyitah hanya ada satu permintaan saja iaitu mayat keluarganya mesti ditanam dalam satu kubur. Bersama-sama.
"Baik. Disebabkan engkau telah lama berkhidmat menjaga anakku, aku tunaikan permintaan itu."
Anak kecil Masyitah yang masih minum susu badan mula dibaling ke dalam tong minyak yang panas. Masyitah berasa amat sedih dan mula menangis.
"Kenapa?? Dah berubah fikiran untuk mengaku diriku ini ialah Tuhanmu?"
"Tak! Keputusanku tetap sama dan aku tidak akan beriman kepada kamu!"
Tiba-tiba keajaiban berlaku. Anaknya yang masih bayi itu dapat bercakap.
"Wahai ibuku..balingkanlah dirimu! Kamu akan masuk syurga terus daripada api Firaun ini."
Disebabkan inilah Masyitah terjun ke dalam tong minyak yang panas dan mati syahid. Sekejap saja dan Masyitah terus masuk ke syurga.
Kemudian Rasulullah meneruskan perjalanan lagi. Kali ini baginda nampak ada beberapa kaum yang sedang disiksa oleh Allah.
Pelbagai seksaan yang diberikan sebagai hukuman dosa manusia:
Cara mereka diseksa semua sama iaitu kepala mereka dihancurkan oleh dua batu yang besar. Dah hancur, jadi normal semula, hancur balik. Berulang-ulang. Semua kejadian ni Rasulullah tengok dari atas al-Buraq, semua dalam perjalanan. Mereka belum sampai lagi ke Masjidil Aqsa.
"Siapa mereka ni? Kenapa kepala mereka asyik dihancurkan oleh batu?"
Mereka ialah orang yang susah bangun untuk solat, khususnya solat Subuh. Kerana kepala mereka berat, susah untuk bangun dari bantal. Siksaan mereka sama dengan sikap mereka iaitu berat kepala jadinya kepala mereka dihancurkan. Inilah balasan mereka pada hari kiamat nanti.
Kemudian mereka teruskan perjalanan dan nampak pula satu kumpulan yang sedang makan. Tetapi mereka makan daging yang penuh dengan duri. Mereka juga dipaksa untuk minum air yang sangat panas dan malaikat lain memasukkan batu yang panas atau arang dari api neraka ke dalam mulut mereka semua.
"Siapa mereka ni?"
Mereka ialah orang yang tak keluarkan zakat, harta mereka di dunia. Dan Allah tidak menzalimi mereka apa-apa, mereka sendiri yang tidak keluarkan zakat.
Kemudian Rasulullah nampak lagi satu kumpulan lain. Ada dua meja makan yang hidangannya pun berbeza. Satu meja tersedia hirisan daging yang dipotong cantik, baunya sedap dan tersusun di atas meja. Satu lagi meja yang menyediakan daging berulat, busuk dan tak masak. Mereka tetap makan meskipun daging tersebut dalam keadaan yang teruk. Rasulullah pelik dengan situasi itu lalu terus bertanya pada Malaikat Jibril.
"Kenapa mereka semua ini tetap memakan daging yang busuk itu? Siapa mereka ni?"
Mereka ini contoh seorang suami yang tinggalkan isterinya yang halal dan baik lalu mencari perempuan yang haram (zina). Begitu juga isteri yang meninggalkan suaminya yang halal dan mencari lelaki yang haram. Inilah situasi yang akan terjadi pada hari kiamat. Umpama kita ada daging yang masak, bau pun sedap tapi kita nak juga makan daging yang berulat dan busuk.
Kemudian Rasulullah teruskan perjalanan lagi.
Kali ni baginda ternampak kayu di tengah jalan dan satu kumpulan lagi. Tiada seorang manusia pun yang lalu bersebelahan kayu tersebut melainkan kayu tu yang bergerak bagai mencucuk-cucuk mereka. Semua orang di sekitar tu tak selamat, asyik diganggu oleh kayu tersebut.
"Kenapa mereka begitu? Siapa mereka ni?"
Mereka ialah golongan yang selalu memutuskan jalan orang. Contohnya pada zaman dahulu, ada ramai mafia. Dan musafir akan naik unta, keldai, kuda dan mafia akan duduk di suatu kawasan hendap. Setiap kali musafir lalu di jalan tersebut, mafia ni akan serang mereka secara beramai-ramai, curi duit dan curi barang dagangan. Ni zaman dulu, sekarang mungkin dengan cara yang canggih sedikit. Cara ni dikira menganggu perjalanan orang.
Mereka berdua sambung lagi perjalanan. Baginda nampak seorang lelaki sedang berenang di dalam sungai yang penuh dengan darah. Lelaki ni lemas dalam darah dan disuap batu dari api neraka ke dalam mulutnya dengan paksa.
"Siapa ni?"
Mereka ialah golongan yang memakan riba' dalam perniagaan.
Kemudian Rasulullah nampak lagi satu keadaan yang memeranjatkan. Baginda melihat seorang lelaki sedang mengangkat beban kayu yang amat berat. Lelaki tu nampak amat penat dan hampir jatuh kerana beban yang dibawa, dia tahu dirinya tak mampu nak angkat lebih lagi..tapi apa yang peliknya dia tetap menambah beban kayu di belakangnya. Dia tetap ambil kayu yang ke-2, ke-3 sedangkan sebatang kayu pun dia tak mampu pikul.
"Kenapa dia terus begitu?"
"Ini ialah golongan yang dari umatmu Muhammad. Dia ambil amanah daripada orang dan tidak mampu menunaikan amanah itu tapi dia sibuk nak tambahkan amanah lagi".
Sebabtu amanah ni bahaya di dunia. Contoh amanah ialah apa-apa tanggungjawab seperti keluarga, pemimpin negara atau apa-apa jawatan sekalipun. Mereka tak dapat buat kerja dengan baik kerana tak mampu tapi dia sibuk nak ambil jawatan lagi satu, sibuk nak ambil kerja lagi satu. Dia tambahkan tanggungjawab dia sedangkan satu kerja pun tak selesai.
Kemudian Nabi Muhammad nampak lagi satu kumpulan yang bibirnya macam bibir unta, tebal dan mereka gunting bibir mereka menggunakan gunting dari api neraka. Setiap kali dipotong, masih ada, sentiasa berterusan.
"Siapa ini?"
Ini ialah golongan yang menyebarkan fitnah. Contohnya ada satu pengkhutbah zaman dulu, dia telah memecah belahkan dan meroakkan hidup dua golongan lalu membuat mereka saling bermusuhan kerana mereka semua percaya apa yang dikatakan pengkhutbah tersebut. Hanya dengan kata-kata, dia gerakkan satu fitnah besar antara dua golongan.
Kemudian perjalanan diteruskan.
Tiba-tiba Rasulullah ternampak satu kumpulan yang kuku mereka sangat panjang, tajam dan kuat. Mereka sendiri sedang cakar muka dan badan mereka sehingga keluar darah dan tertanggal kulit masing-masing.
"Siapa mereka?"
Mereka ialah orang yang mengumpat orang lain.
Mengumpat dan bersangka buruk itu berbeza. Sangka buruk ialah bila kita diam, tapi hati kita berkata buruk tentang orang. Cara nak buang sikap ni ialah dengan ingat kebaikan dia. Mustahil jika setiap orang itu semuanya jahat. Imam Hasan al-Basri mengajar kita jika seseorang itu buat silap, cari sehingga 17 alasan contohnya mungkin dia lupa, mungkin tak tahu, mungkin dia sakit. Orang yang bersangka buruk akan rugi sebab kita takkan dapat apa-apa.
Kemudian Allah tunjukkan kepada Rasulullah contoh bahayanya percakapan. Rasulullah nampak seekor lembu yang besar tapi keluar dari lubang yang kecil. Sesudah keluar, lembu tersebut cuba untuk masuk balik ke dalam lubang tersebut namun gagal sebab lubang itu kecil.
"Apa maksudnya ni?"
Ini merupakan contoh jika perkataan sudah keluar dari mulut. Kalau dah cakap, waktu tu kita dah tak berpeluang lagi nak tarik balik percakapan kita. Kalau Allah maafkan, alhamdulillah selamat. Kalau tak dimaafkan, kena tanggung sendiri dosa mulut kita. Sebab itu orang yang berakal, lidah mereka di belakang pemikirannya. Mereka berfikir dahulu, barulah lidahnya bergerak.
Kemudian Rasulullah lalu di antara dua gunung. Baginda bau rasa yang luar biasa, sangat wangi. Baginda rasa sangat lain.
"Jibril, bau apa ni?"
"Ini bau dari syurga."
Rasulullah boleh dengar suara-suara di sekitarnya lantas baginda bertanya,
"Suara apa ni?"
"Syurga ini setiap hari bermunajat kepada Allah."
"Bermunajat macam mana?"
Syurga sentiasa menunggu kehadiran tetamunya:
"Ya Allah, bagilah apa yang Engkau telah janji padaku. Terlalu banyak istana di dalam aku. Terlalu banyak kain sutera, emas, perak, nikmat, mutiara, cawan, makanan, buah, nikmat sungai mengalir. Terlalu banyak di dalamku. Bilakah hambaMu yang soleh akan masuk ke sini?"
Syurga rindu kepada orang soleh, jadi setiap hari syurga bermunajat bertanyakan kepada Allah akan perkara tersebut. Janji Allah pada syurga ialah:
"Aku akan beri kamu setiap muslim dan muslimat, mukmin dan mukminat yang tidak syirik, takut kepadaKu, Aku akan berikan kepada kamu."
Kemudian Rasulullah jalan ke hadapan sedikit, tiba-tiba baginda bau busuk.
"Bau apa ni?"
"Ini bau dari api neraka"
Sama juga seperti tadi, baginda dengar ada suara yang berbunyi seperti sedang bercakap.
"Ya Allah, mana yang Engkau telah janjikan? Banyak azab di dalam aku. Banyak arang, batu, ular dan macam-macam azab lagi. Aku tak sabar nak terima orang yang jahat masuk ke sini!"
"Sabar, Aku akan berikan kepada kamu semua. Kafir, orang jahat lelaki dan perempuan, yang sombong dan zalim di dunia ini. Yang tidak beriman kepadaku."
Kemudian barulah Rasulullah sampai di Masjidil Aqsa, Palestin.
Baginda nampak sebuah masjid dan turun bersama al-Buraq lalu mengikatnya. Bukan kerana takut al-Buraq akan lari, tetapi lebih kepada adat. Jika ada binatang, kita kena ikat supaya ianya tak pergi. Ada sebuah batu di hadapan pintu Masjidil Aqsa, batu itu seperti kubah. Jibril memasukkan tangan ke dalam batu tersebut lalu batu itu berlubang. Rasulullah masukkan tali ke dalam lubang itu lalu mengikat al-Buraq.
Kemudian mereka berdua masuk ke dalam masjid untuk solat 2 rakaat. Sebaik sahaja Rasulullah habis memberi salam rakaat akhir, dia terkejut. Masjidil Aqsa secara tiba-tiba penuh, ramai orang di dalamya. Ada yang sedang sujud, rukuk, bertasbih. Cahaya terlalu terang dan baginda kenal orang yang ada di dalam masjid itu.
"Aku kenal ini Nabi-nabi Mu ya Allah."
Pada waktu tu, Allah bangkitkan semua nabi dengan roh dan badan-badan mereka supaya menunjukkan kemuliaan dan keagungan Nabi Muhammad. Tiba-tiba ada seorang daripada mereka terus azan lalu iqamat.
Terlalu ramai dalam Masjidil Aqsa..adanya para anbiya' dan muslimin dalam saf hadapan. Kiri dan kanan Rasulullah berdirinya Nabi Ibrahim dan Ismail (mereka atuk Rasulullah). Selepas iqamat, mereka semua saling berpandangan antara satu sama lain. Siapa yang boleh jadi imam? Semua tak berani kerana raja para anbiya yang paling agung ada ketika itu iaitu Nabi Muhammad.
Malaikat Jibril terus memegang tangan Rasulullah,
"Silakan, kamu yang kena jadi imam."
Jibril yang menolak Nabi Muhammad ke depan untuk menjadi imam sedangkan baginda muda ketika itu. Jemaah yang lain lebih tua, Nabi Adam pun ada sekali.
Ada ulama berkata, Khabir pernah bertanya,
"Ya Rasulullah, siapa yang solat di belakangmu ketika itu?"
"Semua anbiya' ada di belakangku."
Kejadian ni panjang sangat ceritanya, tapi dengan ringkas sahaja Allah menekankan bahawa Nabi Muhammad ialah nabi kepada seluruh manusia hatta kepada para anbiya' sekalipun. Sebab itu semua Nabi solat di belakang baginda sebagai makmum.
Sebaik saja Nabi Muhammad memberi salam terakhir, terjadi suatu perkara yang ajaib.
Cerita disambung pada next entri iaitu part 3 [di sini]
Comments
Post a Comment